Selasa, 21 Mac 2017

Nasib FAM, Kim Swee ditentukan Sabtu ini


22 Mac 2017 12:41 AM 
SIAPA yang akan menjadi Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan diketahui Sabtu ini. Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat sebagai calon pilihan untuk mengisi kerusi itu tetapi jika Tan Sri Annuar Musa yang menang, Mat tidak akan terkejut.

Tunku Ismail ketika ini dilihat sebagai orang paling berjaya dalam bola sepak tempatan. Beliau menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai kelab paling berjaya, dan kaya tentunya, dalam masa hanya beberapa tahun dan menyema­rakkan minat rak­yat Johor kepada bola sepak.

Stadium Tan Sri Hassan Yunos boleh dikatakan sentiasa dipenuhi manakala kunjungan JDT ke gelanggang lawan, hatta di luar negara sekali pun, diikuti oleh sebilangan penyokong Harimau Selatan.

Tetapi Annuar juga memiliki kredibiliti tersendiri. Beliau dikatakan sebagai orang yang mencetuskan fenomena dalam bola sepak tempatan apabila suatu ketika menjadikan Kelantan sebagai pasukan paling berjaya dari segi penajaan. Ketika zaman kegemi­la­ngannya, cenderamata pasukan Kelantan begitu laris.

Kemampuan Annuar itu juga menyebabkan beliau menjadi antara orang yang diminta nasihat oleh Tunku Ismail ketika Tunku Mahkota Johor itu mula-mula memimpin Persatuan Bola Sepak Johor.

Siapa pun yang akan menang, perkara yang berlaku selepas itu yang menarik perhatian Mat. Adakah Datuk Ong Kim Swee akan terus bersama Harimau Malaysia? Adakah Mario Gomes akan menggantikannya? Atau adakah Philippe Troussier, jika Tunku Ismail menang, akan dibawa ke sini?

Mengapa Mat menyebut nama Philippe Troussier? Ini kerana jurulatih dari Perancis itu pernah dikaitkan sebagai pilihan pertama untuk melatih Harimau Malaysia sebelum FAM akhirnya melantik Dollah Salleh dan kemudian Kim Swee.

Ketika timbul isu FAM tidak dapat meme­nuhi permintaan gaji tinggi daripada jurulatih yang membim­bing Jepun dalam Piala Dunia 2002 itu, Tunku Ismail pada satu ketika memberi gambaran me­nyanggupinya namun kemudian berkata lebih baik dia menggunakan duit itu untuk membangunkan bola sepak Johor.

Berbalik kepada pemilihan pemimpin FAM pada Sabtu ini, Mat ingin memuji makluman terbuka salah seorang calon Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohd. Yusoff Mahadi. Beliau awal-awal lagi berkata hanya boleh bekerja dengan Tunku Ismail, bukan dengan yang lain.

Jadi Mat anggap dengan pengakuannya itu telah memudahkan mereka yang akan mengundi Sabtu ini untuk membuat keputusan.

Ini kerana perwakilan tentunya akan memilih mereka yang tidak memilih bulu, boleh bekerja dengan sesiapa sahaja demi bola sepak bukan demi individu. Ini sekali gus menjadikan dua calon Timbalan Presiden iaitu penyandang Datuk Seri Afandi Hamzah dan bekas Naib Presiden Datuk Seri Subahan Kamal sebagai pilihan terbaik.

Perwakilan tentunya tidak mahu menanggung risiko Yusoff meletak jawatan jika Annuar dipilih sebagai presiden manakala beliau jadi timbalan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nasib-fam-kim-swee-ditentukan-sabtu-ini-1.460157#ixzz4c0Zn2B34© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan