Sabtu, 2 Februari 2019

Kim Swee mula cemas


ARKIB : 15/06/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Pemain Malaysia, Faisal Abu Bakar (kiri) mengasak pemain Qatar, Almahdi Mukhtar pada perlawanan persahabatan di Doha, kelmarin. - REUTERS
KUALA LUMPUR - Kekalahan kedua berturut-turut skuad Olimpik negara dalam perlawanan persahabatan dengan terbaru 0-4 kepada Olimpik Qatar 0-4 semalam, mula mencemaskan pengendalinya Ong Kim Swee.

Menurutnya, pemain tewas seawal babak pertama apabila membiarkan lawan menjaringkan empat gol, semuanya gara-gara pemain ghairah mencari jaringan penyamaan selepas ketinggalan satu gol pada minit ke-10.

"Selepas ketinggalan, saya mula mengubah perancangan, bagaimanapun pemain terlalu ghairah mencari gol penyamaan sehingga membiarkan pemain lawan menghukum kami dengan gol kedua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ia merupakan tamparan terbaru kepada skuad Kim Swee selepas kalah 0-1 kepada Kemboja pada aksi persahabatan, baru-baru ini.

Skuad Olimpik Malaysia yang dalam rangka persiapan menghadapi perlawanan pra kelayakan Olimpik, tidak terdaya memberi tentangan pada perlawanan Stadium Al Sadd, Doha, semalam.

Skuad negara ketinggalan dua gol dalam tempoh lapan minit, sebelum Qatar menambah lagi dua jaringan pada minit ke-33 dan 38.

Skuad Olimpik Malaysia berdepan Lebanon pada 19 Jun ini pada perlawanan timbal balik pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik sebelum bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 Jun.

Tambah Kim Swee, Qatar merupakan pasukan yang hebat apabila menyempurnakan empat daripada lima atau enam peluang gol.

"Ia berbeza dengan pemain saya yang gagal menyempurnakan peluang walaupun cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua, termasuk sepakan penalti yang gagal disempurnakan Fandi Othman.

"Lawan juga bijak mengambil peluang di atas kesilapan individu yang kita lakukan, tambahan pula skuad ini baru sahaja pulang dari Madrid, Sepanyol. Semuanya nampak sempurna buat mereka," kata Kim Swee yang merehatkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat.

Selain Khairul Fahmi, Kim Swee turut merehatkan pemain muda Terengganu, Zubir Azmi selepas kedua-duanya baru sahaja beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu yang menyaksikan Skuad Penyu menang 2-1.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMUWmDYH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan