Isnin, 20 Februari 2017

Akhirnya Kim Swee latih Harimau Malaya

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Ong Kim Swee (kiri) bersalaman dengan Subahan Kamal selepas diumumkan dilantik sebagai jurulatih sementara bagi skuad Harimau Malaya, sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar di Petaling Jaya semalam. - BERNAMA
PETALING JAYA - Setelah gagal mencapai kata sepakat dengan jurulatih berprofil tinggi, Phillippe Troussier, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membuat keputusan menyerahkan skuad Harimau Malaya di bawah pengendalian Ong Kim Swee buat sementara waktu sehingga mereka mendapat jurulatih tetap.

Jurulatih Harimau Muda A itu bakal membawa cabaran Harimau Malaya dalam aksi persahabatan berdepan Filipina pada 1 Mac dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen.

Walaupun ditakrifkan sebagai jurulatih sementara oleh pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, tindakan FAM itu seolah-olah mahu melihat sejauh mana kemampuan Kim Swee membawa Harimau Malaya dengan dua perlawanan itu sebagai medan ujian.

Jika berjaya mencapai keputusan memberangsangkan dalam kedua-dua perlawanan itu, Subahan tidak menafikan FAM bersedia untuk memberi peluang lebih besar kepada Kim Swee biarpun mereka masih mengintai khidmat jurulatih lain dalam masa yang sama.

"Seperti mana yang pernah dilaporkan oleh pihak media sebelum ini, memang benar kami gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mendapatkan Philippe Troussier," katanya, yang tidak menjelaskan punca kegagalan tersebut.

"Oleh kerana tiada lagi calon lain dalam masa terdekat ini, kami bersepakat melantik Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih sementara bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 iaitu menentang Yemen di Dubai pada 5 Mac ini.

"Kami akan memberikan peluang kepada Kim Swee untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dan kita tengok beberapa bulan ini apa yang terjadi.

"Jika segalanya berjalan dengan baik, mungkin kami akan melantik dia menjadi ketua jurulatih dan FAM sendiri tidak meletakkan had masa untuk membuat keputusan dalam hal ini," katanya lagi dalam sidang akhbar semalam.

Ditanya bilakah FAM akan memuktamadkan isu pelantikan jurulatih Harimau Malaya, Subahan berkata, FAM tidak berada dalam situasi terdesak memandangkan hanya Kejohanan AFF sahaja menjadi aksi penting dalam kalendar bola sepak antarabangsa.

"Pasukan kebangsaan bukan dalam situasi terdesak untuk mendapatkan jurulatih tetap kerana selepas pertemuan dengan Yemen, hanya ada pertemuan persahabatan dengan Singapura dan Kejohanan AFF 2014.

"FAM masih membuka ruang kepada individu-individu yang berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya, jika sebelum ini kami menerima kira-kira 42 permohonan, saya yakin jumlah itu akan bertambah," katanya.

Sementara itu, Kim Swee tidak melihat pelantikannya sebagai jurulatih Harimau Malaya itu sebagai satu yang membebankan walaupun dalam masa sama masih memegang tugas mengendalikan Harimau Muda A.

"Buat makluman semua, Liga Australia (National Premier League ) di Queensland, Australia hanya akan bermula pada 8 Mac dan saya boleh mengharapkan kumpulan kejurulatihan Harimau Muda memulakan latihan di sana terlebih dahulu.

"Selepas perlawanan dengan Yemen pada 5 Mac, saya akan terus terbang ke Brisbane, Australia, jadi bukan satu masalah besar," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_02/Akhirnya-Kim-Swee-latih-Harimau-Malaya#ixzz2sLkTq4gX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Februari 2017

Fikir masak-masak pilih pasukan mana - Kim Swee

PETALING JAYA - Kebebasan telah diberi. Sekarang semuanya terserah kepada enam tonggak Harimau Muda A untuk membuat keputusan tentang masa depan mereka sama ada mahu kekal setahun lagi bersama pasukan itu atau memilih haluan baharu.
Mohd. Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhd. Fadhli Shas, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri semuanya diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk mencapai keputusan dengan pasukan yang hendak mereka wakili.
Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan, beliau mahu semua pemain terbabit menyelesaikan isu mengenai masa depan mereka dengan segera supaya fokus mereka bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar, Disember ini tidak terganggu.
Begitupun kata Kim Swee, semua pemain ini perlu memberikan keutamaan kepada negeri di mana mereka berasal, dan seandainya mereka mahu bermain dengan pasukan atau kelab lain, maka mereka perlu mendapatkan pelepasan daripada persatuan bola sepak negeri terbabit.
Kim Swee ketika mengumumkan senarai pemain yang akan dikekal dan dilepaskan untuk tahun 2014-2015 berkata, beliau tidak mahu hanya melepaskan pemain tertentu sahaja kerana enggan dianggap sebagai bersikap berat sebelah.
"Semua pemain ini berusia 22 tahun dan boleh bersama Harimau Muda dalam masa setahun lagi jika mereka berminat untuk meneruskan aksi bersama pasukan ini, jadi pilihan di tangan mereka. Saya memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan bersama pasukan-pasukan yang berminat.
"Namun, saya mahu mereka selesaikan segalanya pada penghujung Oktober ini supaya kita dapat memberikan tumpuan pada Sukan SEA serta persiapan yang kita akan lakukan sepanjang November, saya tidak mahu fokus pemain saya terganggu dengan perkara-perkara sebegini.
"Banyak tawaran saya terima setakat ini untuk enam pemain ini, termasuk dari luar negara, namun mereka kena pulang ke negeri asal untuk berbincang terlebih dahulu," kata Kim Swee di Wisma FAM, semalam.
Pada masa yang sama, Kim Swee turut memberi peringatan kepada pemain-pemainnya agar memikirkan mengenai masa depan mereka dengan sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan hanya kerana teruja dengan gaji lumayan yang ditawarkan.
Apa yang penting, mereka harus memastikan peluang untuk beraksi sentiasa cerah jika menyertai pasukan baharu.
Paling utama katanya, semua pemain ini harus mengekalkan disiplin yang telah diterapkan ketika bersama Harimau Muda dan mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada bekas pemain Harimau Muda yang kini tenggelam dan dilanda kemerosotan prestasi sebaik sahaja menyertai pasukan negeri atau kelab.
"Jika mereka memilih jalan untuk keluar daripada pasukan Harimau Muda, saya mahu nasihatkan mereka agar berusaha mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
"Paling mustahak kekalkan tahap disiplin. Memang berlaku kepada beberapa pemain yang dilepaskan untuk pulang beraksi dengan pasukan negeri masing-masing tidak menunjukkan prestasi yang baik," katanya,

SUMBER-RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_05/Fikir-masak-masak-pilih-pasukan-mana---Kim-Swee#ixzz2hDXvpUHf© Utusan Melayu (M) Bhd

Tewas tetapi pengalaman bernilai - Kim Swee

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my 
PEMAIN-pemain Harimau Muda menimba pengalaman berguna pada Piala Menpora walaupun gagal layak ke perlawanan akhir.
KUALA LUMPUR - Tewas pada perlawanan kedua Piala Menpora 2013 kepada Central Coast Mariners dan gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir tidak meresahkan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee sebaliknya dia lebih menitikberatkan pengalaman yang diraih anak buahnya serta pendedahan kepada pemain simpanan.
Semalam di Stadium Jalak Harupat, Bandung, skuad bawah 23 tahun negara itu gagal untuk melakukan kejutan atau sekurang-kurangnya berkongsi mata dengan juara Liga Australia (Liga-A) 2012/13 itu apabila tewas 0-2 hasil jaringan Matthew Simons (42) Mitchell Duke (90) seterusnya gagal menempah slot ke saingan akhir.
Menurut Kim Swee, walaupun tewas setidak-tidaknya anak buahnya sudah memberikan saingan kepada skuad bimbingan Graham Arnold, yang bukan sahaja juara liga tetapi mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab ternama Asia lain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2012.
"Apa yang paling mustahak di sini ialah kita mendapat satu perlawanan berkualiti, ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang berguna buat pemain, terutama mereka yang jarang diturunkan di Pestabola Merdeka baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada perlawanan pertama Jumaat lalu Harimau Muda bermula dengan sedikit positif selepas berjaya mengikat Persib Bandung 2-2 dan masih baki satu lagi perlawanan bertemu Sriwijaya FC esok namun ia hanyalah sekadar perlawanan pelengkap jadual buat mereka kerana kemenangan masih gagal untuk memintas Central Coast Mariners, di mana juara kumpulan sahaja akan beraksi di perlawanan akhir.
"Kita pelajari sesuatu di sini dan memang kita tidak meletakkan sebarang sasaran, namun perlawanan akhir bertemu Sriwijaya kita tidak akan memberi laluan mudah buat mereka walaupun mereka mempunyai enam pemain import," ujarnya.

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130923/su_08/Tewas-tetapi-pengalaman-bernilai---Kim-Swee#ixzz2flUfcXvM© Utusan Melayu (M) Bhd

Amukan Harimau Muda

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ALI MAHMOOD
dayne.ghazali@utusan.com.my



Nasir (dua kanan) diserbu rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan Malaysia menentang Thailand dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Malaysia menang 3-0. - UTUSAN/ MAHATHIR ALI
KUANTAN - Harimau Muda bagaikan masih lapar meskipun telah menempah tempat pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 apabila penuh bergaya membenam Thailand 3-0 dalam aksi penutup peringkat kumpulan di hadapan 5,000 penonton di Stadium Darul Makmur, semalam.
Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Rozaimi Abdul Rahman membuktikan bisanya perlu diberi perhatian oleh Ong Kim Swee apabila meledak dua jaringan pada minit ke-27 dan 80 dengan gol pertama Malaysia disumbangkan Mohd. Nasir Basharuddin pada minit ke-11.
Keputusan itu turut membantu Myanmar bertemu Malaysia di perlawanan akhir selepas menang 2-0 di Stadium Temerloh dan mengatasi Thailand dengan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat empat mata.
Harimau Muda mudah merobek gawang Thailand pada minit ke-11 lagi melalui rembatan leret pemain tengah Perak, Nasir Basharuddin dari dalam kotak penalti.
Melalui sepakan percuma yang diambil oleh pemain FC Ryukyu, Nazirul Naim dari sebelah kiri, penjaga gol Thailand, Abeefaesan Ya sekadar menumbuk lemah sebelum bola sampai singgah di kaki Nasir yang melepaskan rembatan leret bagi gol pembukaan Malaysia.
Kehilangan ketua pasukan, Mahamasabri Awaebuesa di bahagian pertahanan jelas amat dirasai oleh Thailand apabila 16 minit kemudian, gawang skuad Gajah Putih bocor lagi, kali ini giliran pemain yang berasal dari Sabah, Rozaimi.
Tindakan bijak Sivanesan yang melepasi perangkap ofsaid di sebelah kanan memberikan ruang kepada Rozaimi yang berlari pantas ke dalam kotak penalti tanpa dikawal oleh mana-mana pemain sebelum memperdayakan Abeefaesan dan menolak masuk bagi jaringan kedua tuan rumah.
Rozaimi terus mengganas lagi pada minit ke-80 hasil gerakan skil individu yang menarik dengan mengatasi tiga pertahanan lawan dan menjaringkan gol yang cantik menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti.
Kim Swee mengakui kemenangan yang dicapai oleh Harimau Muda hari ini ekoran sikap positif yang dipamerkan oleh barisan pemain mudanya di samping keletihan pihak lawan yang menggunakan sebahagian besar pemain yang sama pada tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.
''Kemenangan itu membuktikan sesiapa sahaja dalam pasukan ini boleh berada dalam kesebelasan utama dan situasi itu pasti akan terus membuatkan saya pening kepala memilih siapa yang akan digunakan pada aksi akhir nanti," katanya.


Sumber-Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130912/su_01/Amukan-Harimau-Muda#ixzz2efW2uzwA © Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda mahu asah taring

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
SKUAD Harimau Muda bergambar kenangan pada majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang Jumaat lalu.

SEJAUH mana kemampuan barisan pemainnya kekal cergas beraksi dalam tempoh 90 minit bakal menjadi agenda utama pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang sepak mula Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan pada 7 September depan.
Sekadar turun dalam satu aksi persahabatan berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 3 September, tiada lagi yang dituntut Kim Swee melainkan beberapa siri 'pemanas badan' sebelum Harimau Muda memulakan kempen Pesta Bola Merdeka 2013 menentang skuad Bawah 23 tahun (B-23) Singapura empat hari kemudian.
Menurut beliau, tempoh kurang dua minggu yang dimiliki beliau akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengenal pasti beberapa aksi kompetitif sebelum Pesta Bola Merdeka 2013 bermula.
"Saya hanya dapat menilai kecergasan pemain dalam perlawanan penuh selama 90 minit, bukan sekadar latihan biasa.
"Jadi saya harap dapat mengenal pasti beberapa aksi persahabatan sebagai ujian buat pemain selewat-lewatnya minggu depan," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kim Swee berkata, beliau berdepan kesukaran menguji pemain ekoran aksi persahabatan berdepan skuad kebangsaan Bangladesh yang sepatutnya berlangsung 22 Ogos lalu terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Hanya aksi menentang Pahang yang bakal menjadi ujian terakhir Harimau Muda sebelum memulakan aksi Pesta Bola Merdeka, jadi saya harap kami dapat mengadakan beberapa ujian persahabatan sebelum itu," katanya.
Daripada 25 pemain Harimau Muda yang dipanggil berkumpul di Kuantan pada 1 September depan, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan sekurang-kurangnya tiga nama akan 'tercicir' daripada beraksi pada Pesta Bola Merdeka nanti.
"Senarai akhir 22 pemain hanya akan diumumkan sehari dua sebelum Pesta Bola Merdeka," kata Kim Swee.
Selepas berdepan B-23 Singapura, skuad kendalian Kim Swee bakal melayan cabaran skuad B-23 Myanmar pada 9 September sebelum berdepan B-23 Thailand dua hari kemudian.
Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 14 September.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Pesta Bola Merdeka ialah pada edisi 2007 apabila mengecewakan Myanmar 3-1 di pentas final.

SUMBER RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/27.8.2013