Jumaat, 25 Oktober 2019

Tidak setuju Luqman diserap terus ke skuad kebangsaan

BERNAMA | | 23 Oktober 2019
 
Kim Swee
PENGENDALI skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menggesa semua pihak bertenang dalam meraikan peningkatan prestasi pemain muda negara ketika ini terutama tonggak skuad B-18, Luqman Hakim Shamsudin.


Cadangan segelintir pihak yang mahu penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 AFC 2018 itu terus diserap ke dalam skuad senior kebangsaan sebagai alternatif menguatkan jentera serangan tidak dipersetujui Kim Swee.

Pengendali berusia 48 tahun itu yang pernah membimbing Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, ingin melihat perkembangan prestasi Luqman serta beberapa pemain muda berpotensi negara yang lain secara berperingkat.


"Biar Luqman dan barisan pemain B-18 yang lain melalui kelayakan Kejuaraan B-19 AFC, kita jangan ganggu persiapan mereka kerana ia lebih penting di mana kalau layak ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mereka bersama skuad Sukan SEA sebagai permulaan.

"Saya tak setuju kalau kata Luqman terus pergi beraksi dengan skuad kebangsaan, biar dia naik secara berperingkat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Memperkasakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di sini.

Bagi Kim Swee, tumpuan meluas mengaitkan barisan pemain B-18 negara bersama skuad B-22 dan skuad kebangsaan bukan sahaja akan memberi tekanan kepada mereka, tetapi juga akan menjejaskan fokus menjelang pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 di Kemboja bermula 2 Nov ini.

Menurut beliau, kelompok pemain skuad B-18 negara kini merupakan pemain yang bakal bersama skuad B-22 kendaliannya dalam misi mengintai peluang beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya tahu semua pemain mahu bermain dalam Sukan SEA tetapi kelayakan Kejuaraan B-19 AFC itu perlu menjadi keutamaan di mana skuad B-16 dan B-23 kita telah gagal, jadi sekurang-kurangnya kita mahu satu pasukan negara untuk layak.

"Mereka ini juga akan jadi pemain generasi seterusnya yang akan berjuang dalam kelayakan Sukan Olimpik 2024 jadi kalau mereka layak ke Kejuaraan AFC B-19 2020 ia menjadi platform pendedahan yang sangat bermakna," tambah Kim Swee.

Luqman antara 34 pelatih generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah NFDP dan muncul pemain Malaysia pertama ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/53756/BERITA/Sukan/Tidak-setuju-Luqman-diserap-terus-ke-skuad-kebangsaan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Isnin, 21 Oktober 2019

Melaka gugur Kim Swee, Paul Raj


ARKIB : 29/04/1998
BEKAS pemain kebangsaan, Ong Kim Swee dan Paul Raj akhirnya digugurkan daripada pasukan bola sepak Melaka ekoran persembahan kurang menyerlah pada persaingan bola sepak Liga Perdana Dua musim ini, lapor AMIRUDDIN HARUN.
Kedua-dua pemain itu digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada dua pemain terbabit pada 21 April lalu.
Pengguguran dibuat setelah persatuan itu mendapati kedua-dua pemain itu tidak menunjukkan prestasi seperti yang dikehendaki semasa perjanjian ditandatangani sebelum perlawanan liga dimulakan.
Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh ketika dihubungi di Melaka semalam memberitahu, tindakan drastik itu diambil setelah MAFA tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan pasukan itu diwakili oleh barisan pemain yang berwibawa.
Mengenai pembayaran gaji pemain-pemain, beliau mengakui MAFA berhadapan dengan masalah pembayaran gaji pemain tetapi MAFA cuba menyelesaikannya secara berperingkat-peringkat.
Menurutnya, masalah ini timbul kerana Gibca Holdings Sdn. Bhd., yang menjadi penaja utama pasukan musim ini masih belum menyuntik bantuan kewangan kepada MAFA.
Beliau juga mengesahkan bahawa hanya enam pemain kontrak termasuk pemain import yang dibayar gaji bulanan manakala baki pemain yang merupakan pemain amatur hanya dibayar elaun.
Berikutan masalah yang timbul, katanya, Presiden MAFA, Datuk Mohamed Jais akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pada 3 Mei ini di Arwana Resort, Genting Highlands.
Menurutnya, pertemuan itu diharap dapat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh MAFA lebih-lebih lagi setelah pasukan Sang Kancil diaibkan oleh pasukan Terengganu, 0-5 pada perlawanan Perdana Dua di Terengganu, Jumaat lalu.

Jumaat, 18 Oktober 2019

Kim Swee senarai 24 pemain bertemu Indonesia

Sukan
Khamis, 25 Ogos 2016 | 10:17pm
Kim Swee senarai 24 pemain bertemu Indonesia
Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee.
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, menyenaraikan 24 pemain untuk menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 29 Ogos ini, bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Indonesia pada 6 September.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dalam kenyataan hari ini, menyatakan semua pemain perlu melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 29 Ogos, kecuali tiga pemain - Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan Safawi Rasid.

Ketiga-tiga pemain itu akan melapor diri pada 31 Ogos selepas mereka selesai beraksi bersama skuad Bawah 22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Bahrain B-22 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

"Banyak perubahan terpaksa dilakukan kerana masalah kecederaan dan ada yang bersara. Rata-rata pemain kali ini terdiri daripada pemain muda yang ada pengalaman antarabangsa di peringkat remaja.

"Mereka dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu. Sudah tentu tempoh masa singkat untuk kem latihan pusat kali ini, dengan jadual yang padat," kata Kim Swee.

Kim Wee berharap 24 pemain yang dipanggil itu dapat bermain secara berpasukan dengan lebih baik biarpun dalam tempoh singkat.

Menurut kenyataan itu, hanya 11 pemain dikekalkan daripada skuad ke siri Jelajah Oceania 2016 pada Jun lalu, iaitu penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Khair Jefri Jones, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Amri Yahyah, Zaquan Adha Abd Radzak dan Ahmad Hazwan Bakri.

Sementara 13 pemain lain tidak tersenarai, termasuk enam pemain mengalami kecederaan/dalam pemulihan iaitu penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan.

Empat pemain digugurkan ialah penjaga gol Farhan Abu Bakar, S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran serta empat pemain yang bersara daripada pentas antarabangsa iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim.

Sebagai ganti, Kim Swee memanggil 13 muka baharu terdiri daripada penjaga gol Khairulazhan Khalid, S Veenod dan Adam Nor Azlin (Selangor), penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Amer Saidin dan Irfan Fazail (JDT II), Fakrul Aiman Sidid (PDRM), Ronny Harun (Sarawak), Matthew Davies (Pahang) dan Safawi Rasid (T-Team).

Senarai 24 Pelatih:

Mohamad Fadhli Mohd Shas (JDT), Mohd Amri Yahyah (JDT), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT), Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Selangor), Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), S. Veenod (Selangor), Adam Nor Azlin (Selangor), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Brandon Gan (Kelantan), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Mohammad Amer Saidin (JDT II), Mohamad Zaqwan Adha Abd Radzak (JDT II).

Shahrul Mohd Saad (Perak), Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Abdul Latiff Suhaimi (PDRM), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Felda United), Ronny Harun (Sarawak), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United), Matthew Thomas Davies (Pahang), Muhammad Safawi Rasid (T-Team).

- BERNAMA

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE