Sabtu, 2 September 2017

Kim Swee sedia rombak serangan

myMetro
 
Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee bersedia merombak barisan serangannya termasuk memanggil muka baru serta pemain yang sudah lama diketepikan.

Antara pemain yang berada dalam radar ketika ini ialah penyerang Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) Zaquan Adha Abd Radzak, Shafiq Shaharudin, Ahmad Hazwan Bakri dan R Gopinathan (Selangor) serta Amirul Syahmi Asha’ri (Terengganu).

Daripada senarai ini antara yang menarik perhatian ialah Zaquan, 28, yang sudah lama tidak menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir beraksi ketika seri 1-1 menentang Bangladesh pada 20 November 2012.

“Memang saya memberi penekanan dalam membentuk bahagian serangan lebih mantap, bukan saja untuk aksi menentang Timor Leste dalam perlawanan play-off Piala Asia 2019 (2 dan 7 Jun), malah untuk persediaan pasukan bagi jangka masa panjang.

“Beberapa pemain dalam pemerhatian saya, antaranya Zaquan yang mempamerkan peningkatan selepas lama bergelut dengan kecederaan.

“Saya tidak bimbang jika memanggil semula Zaquan bersama pasukan kerana dia mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa serta tahu komitmen yang dituntut daripadanya,” kata Kim Swee kepada Metro.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:47 AM

Jumaat, 1 September 2017

Popular di seberang

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Ketika nasib jurulatih Datuk Ong Kim Swee bersama skuad bawah 22 tahun n (B-22) masih belum pasti, situasi itu pantas dihidu beberapa kelab Liga Super Indonesia (ISL) yang menyatakan berminat mendapatkan khidmatnya.

Kim Swee bukan asing lagi di Indonesia selepas beliau menjadi ‘arkitek’ kejayaan skuad negara menewaskan negara itu pada final Sukan SEA 2011 Jakarta.

Malah ‘saham’ pengendali berusia 46 tahun itu terus melonjak di negara jiran itu susulan anak buahnya menewaskan skuad Garuda Muda kendalian bekas jurulatih remaja Sepanyol Luis Milla Aspas dua kali di kelayakan Kejohanan AFB-23 di Bangkok bulan lalu (3-0) dan separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur (1-0).

Difahamkan sebuah kelab yang berpangkalan di Jakarta sangat serius untuk mendapatkan khidmat Kim Swee manakala beberapa kelab ISL turut menunggu peluang apabila kontrak beliau tamat 31 Disember ini.

Bagaimanapun Kim Swee enggan mengulas spekulasi itu kerana masih berminat untuk mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan kontrak.

“Tiada apa yang ingin saya katakan setakat ini mengenai perkara itu (tawaran kelab Indonesia). Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan (FAM) selepas ini, secepat-cepatnya minggu depan.

“Perbincangan itu bukan hanya mengenai kontrak tapi membabitkan perancangan pasukan B-22 yang akan bertanding di Kejohanan AFC (B-23) di China tahun depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Berdasarkan kontrak asal dua tahun dengan FAM yang ditandatangani Januari 2016, Kim Swee ditawarkan tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya namun beliau diarahkan untuk menggantikan tempat Frank Bernhardt pada Mac lalu untuk membimbing skuad B-22.

Posisi Kim Swee pula diisi jurulatih kelahiran Portugal Nelo Vingada.

Kim Swee masih relevan

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap khidmat Datuk Ong Kim Swee masih diperlukan untuk membimbing pasukan negara bagi persediaan mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China Januari depan.

Beliau berkata, kejayaan membawa skuad muda negara layak secara automatik buat kali pertama ke kejohanan itu serta meraih perak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Selasa lalu membuktikan kemampuan Kim Swee mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mencapai keputusan baik di dua kejohanan besar tahun ini. Pasukan ini melepasi kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu dan layak ke final Sukan SEA.

“Walaupun kita kalah kepada Thailand (0-1) dan meraih perak, kejayaan mara ke final Sukan SEA itu boleh dianggap baik seperti diakui sendiri Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi pada final itu cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya fikir dua pencapaian ini boleh dijadikan asas penilaian untuk FAM menentukan kedudukan Kim Swee nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai nasib Kim Swee yang masih belum pasti untuk membimbing skuad B-22 selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.

Malah difahamkan ada beberapa kelab utama Liga Super Indonesia (ISL) termasuk satu kelab berpangkalan di Jakarta berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu.

Bagaimanapun Kim Swee, 46, enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu sebaliknya mahu memberi fokus kepada proses perbincangan dengan FAM mengenai lanjutan kontraknya dalam masa terdekat ini.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, segala keputusan bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Teknikal dan beliau berharap kata putus dapat dicapai kerana mereka hanya ada lebih kurang empat bulan sebelum menghadapi Kejohanan AFC B-23.

“Kejohanan AFC akan berlangsung Januari tahun depan, saya fikir untuk meletakkan jurulatih baru agak susah kerana masa agak singkat. Peluang untuk kontrak Kim Swee disambung ada tapi bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

“Kalau mengikut perancangan awal, pemain perlu dipanggil semula Disember ini sebelum ke China. Kali ini kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa untuk menyediakan pasukan lebih mantap,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 3:04 AMN


Maafkan salah saya – Haziq

REAKSI kecewa penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola
REAKSI kecewa penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola yang ditumbuknya masuk ke gawang sendiri pada saingan akhir bola sepak antara Malaysiamenentang Thailand di Stadium Shah Alam.

31 Ogos 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli menyifatkan kesilapan yang dilakukannya ketika final Sukan SEA menentang Thailand di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan tewas 0-1 menjadi pengajaran berguna buat dirinya.

Mengakui menjadi punca kepada kekalahan tersebut, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mahu menoleh ke belakang sebaliknya terus pandang ke depan.

“Pertama sekali saya memohon maaf kepada semua kerana disebabkan prestasi dan kesilapan saya telah menjadi punca kepada kekalahan pasukan. Jika saya dipanggil lagi selepas ini saya akan buat yang terbaik.

“Pada waktu itu, bola berada dalam lencongan dan saya nak tumbuk tetapi dengan cuaca hujan dan basah menyebabkan saya terlepas melakukannya. Nak buat macam mana bukan rezeki saya dan bukannya saya sengaja. Kalau sengaja lebih baik saya beritahu awal-awal saya tidak mahu main,” katanya.

Haziq gagal menjinakkan sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38 sebelum bola masuk ke gawang sendiri. Kesilapan yang sama turut berlaku pada 16 tahun lalu apabila penjaga gol waktu itu, Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri menentang lawan yang sama juga di venue yang sama.

Tambah Haziq, dia berterima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sentiasa memberi semangat dan menerima kritikan peminat dengan hati terbuka.

“Saya kecewa dengan kekalahan malam ini tetapi nak buat macam mana sebab dalam bola sepak sepuluh kali saya selamatkan gawang orang tak akan ingat, orang ingat satu sahaja kesilapan saya.

“Terima kasih kepada mereka yang memberikan semangat kepada saya dan siapa yang cakap (kritik) saya abaikan mungkin mereka tengah marah,” katanya.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 31 Ogos 2017 3:00 AM