Jumaat, 10 Mei 2019

Sukar kumpul pemain jejas perancangan skuad Kim Swee

  
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegagalan menurunkan barisan terbaik - masalah yang tiada penghujung - masih membelenggu pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee (gambar) untuk menghadapi Kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok pada 19-23 Julai nanti.
Ini berikutan keengganan beberapa pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga-M) untuk melepaskan pemain kerana masing-masing bergelut untuk memenuhi kehendak jadual Liga Super dan Piala Malaysia ketika kelayakan itu berlangsung.
Pengurus pasukan Datuk Wira Yusoff Mahadi tidak mempunyai pilihan sebaliknya mengaku masalah itu masih ada dan berharap ia dapat diselesaikan dengan kadar segera.
“Saya bertemu dengan Kim Swee sebentar tadi (semalam) dan pelbagai perkara kami dibincangkan terutama mengenai perancangan skuad muda negara. Memang benar ada pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain untuk saingan kelayakan itu nanti.
“Mereka memberi alasan bahawa pemain berkenaan amat diperlukan jadi kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pasukan terbabit. Kita berharap isu ini dapat diselesaikan demi kebaikan bersama,” katanya.
Pusingan kelayakan di Bangkok bukan saja penting untuk anak buah Kim Swee mencuba nasib bersaing di pentas lebih tinggi malah ia juga persiapan terbaik sebelum mengharungi Sukan SEA di Kuala Lumpur, kira-kira sebulan selepas itu.
Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama gergasi Asean Thailand dan Indonesia serta Mongolia bagi merebut slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China.
Dengan masalah untuk mendapatkan pemain belum dapat diselesaikan, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM mengesahkan rancangan awal seperti yang diatur bekas jurulatih Frank Bernhardt untuk mengumpul pemain selama tiga bulan sebelum Sukan SEA terpaksa dilupakan.
Sebaliknya mereka dijangka mengadakan latihan pusat di luar negara ketika Ramadan dengan Australia menjadi destinasi pilihan.
“Kami sedang mengatur latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara dan jika berjalan lancar saya fikir Australia adalah destinasi terbaik pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:59 AM

Isnin, 6 Mei 2019

Kim Swee tidak peduli

ONG KIM SWEE (tiga dari kanan) menerangkan taktikal pasukan kepada pemain-pemain ketika sesi latihan Harimau Malaysia di Stadium Panasonic, Shah Alam semalam. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Fadhilul Izmel Ishak

17 Mac 2017 11:55 PM
SHAH ALAM 17 Mac - Lapan hari lagi Kongres Ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berlangsung untuk menentukan sama ada Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Tan Sri Annuar Musa yang akan memimpin persatuan sukan yang sering dilanda kontroversi itu.

Sebaik sahaja Presiden FAM dipilih daripada kalangan dua calon itu kedudukan pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee pasti menjadi isu seterusnya.

Kim Swee hampir pasti kehilangan jawatan itu jika Tunku Ismail dipilih sebagai Presiden FAM pada 25 Mac ini. Tunku Mahkota Johor itu sebelum ini memberi isyarat bahawa bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez merupakan bakal jurulatih baharu Harimau Malaysia.

Ini bermakna ada kemungkinan perlawanan persahabatan dengan Filipina pada 22 Mac ini di Manila adalah tugasan terakhir Kim Swee bersama skuad negara.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar pula tidak memberi bayangan mengenai kedudukan jurulatih dari Melaka itu.

Bagaimanapun, bagi Kim Swee masa depannya bersama Harimau Malaysia tidak akan sesekali berada dalam fikirannya sebaliknya perkara itu diserahkan bulat-bulat kepada FAM sama ada mahu meneruskan khidmatnya atau tidak selepas presiden baharu dilantik.

“Terus-terang saya katakan, saya tidak memikirkan semua itu kerana seperti mana yang saya katakan sebelum ini, setiap presiden sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri dan perancangan itu sudah pasti untuk kebaikan pasukan kebangsaan.

“Saya terima sebarang keputusan. Sama ada ini perlawanan terakhir atau pun tidak saya terima. Itu terpulang kepada pihak pengurusan. Tugas saya di sini adalah memberi fokus kepada perlawanan menentang Filipina dan yang lain terpulang kepada pihak pengurusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kim Swee dilantik oleh FAM sebagai pengendali Harimau Malaysia pada Januari 2016 dengan kontraknya akan berakhir tahun hadapan.

Mengenai persediaan menentang Filipina, Kim Swee memberitahu dia mula menjalankan latihan taktikal sepenuhnya selepas dua pemain Felda United, Hadin Azman dan Farizal Harun menyertai kem latihan pada hari ini setelah beraksi dalam kempen Piala AFC Rabu lalu.

“Perkembangan positif kerana mereka hadir tanpa mengalami sebarang kecederaan malah mereka juga sudah menjalani proses pemulihan selepas menentang Ceres FC dan ini membenarkan mereka menjalani latihan seperti biasa.

“Semua pemain telah hadir dan ini memberi peluang kepada saya dapat melakukan banyak lagi percaturan dan strategi,” katanya, mengenai persediaan skuadnya untuk menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal.
Tag Berkaitan
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-tidak-peduli-1.458364#ixzz4c0umisuj© Utusan Melayu (M

Jumaat, 3 Mei 2019

Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR

3 FEBRUARI 2017
Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee pada sidang media AirAsia taja Datuk Ong Kim Swee dan Brad Maloney berguru sebulan di QPR di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. - Foto Bernama
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk 'berguru' selama sebulan di London bagi mengikuti program bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemergian Kim Swee bersama penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney dari 7 Februari hingga 8 Mac ini dilihat mampu memberi manfaat dan faedah sepenuhnya kepada beliau dan juga pasukan kebangsaan.

Hamidin menjelaskan program tersebut ditaja sepenuhnya oleh AirAsia menerusi inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pemilik kelab berkenaan.

"Kim Swee dan Brad akan diberi peluang untuk melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR di Harlington, yang merupakan pusat latihan QPR di bawah kendalian Ian Holloway bersama barisan kejurulatihannya.

"Dari situ, Kim Swee dan Brad akan diberi kesempatan untuk berbincang dan mempelajarai sesuatu yang baharu mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee mengakui peluang keemasan itu akan memberikan impak positif kepada kemahiran kejurulatihan beliau dan Brad yang akan digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

"Peluang untuk melihat sendiri skuad utama QPR menjalani latihan serta mengikuti perkembangan pasukan akademi mereka ini pasti memberikan satu pengalaman dan pendedahan yang amat berguna kepada kami.

"Selain dapat meningkatkan mutu kemahiran kejurulatihan kami, segala ilmu dan kaedah latihan yang dipelajari semasa di sana akan saya gunakan bersama skuad kebangsaan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata program itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan melibatkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan kami dalam membantu memartabatkan semula bola sepak Malaysia," katanya. - Bernama


Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3 FEBRUARI 2017

Insa 'buka mata' OKS

INSA (gambar kecil) kini bersama skuad Tok Gajah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: Pemain kacukan Francisco Javier Insa Bohigues yang menyarung jersi skuad Liga Super Pahang mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kerana beranggapan pemain itu mampu memperkuatkan pasukan khususnya di bahagian pertahanan.

Dia yang turut dikenali sebagai Kiko Insa, 29, pada mulanya didaftarkan pemain import skuad Tok Gajah musim ini namun kemudian diiktiraf pemain tempatan apabila memiliki kad pengenalan Malaysia dua minggu lalu.


Kiko Insa yang dilahirkan di Alicante, Sepanyol tetapi neneknya berasal dari Kuala Lumpur, sudah diturunkan jurulatih Dollah Salleh ketika Pahang seri 1-1 dengan Perak dan membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Liga Super.

Ternyata aksi awal pemain tengah itu yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan memikat Kim Swee yang kini sedang mencari pemain dalam persiapan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2017 bermula Mac depan.

“Bergantung kepada status, saya kena teliti dari segi sama ada dia mempunyai pasport Malaysia. Sudah pasti dia pemain yang bagus cuma kita kena melalui beberapa proses terlebih dulu, jika peraturan membenarkan, saya memang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Tapi saya tak boleh terus kata boleh, takut nanti AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tak benarkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media bulanan skuad Harimau Malaysia semalam.

Kiko Insa yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano dan kelab Belgium UR Namur juga boleh berbahasa Indonesia kerana pernah mewakili Arema FC dan Bali United.

Kim Swee mengakui kehadiran pemain ini boleh membantu, apatah lagi beliau berdepan masalah di bahagian pertahanan tengah ketika mengharungi kempen Piala AFF tahun lalu.

“Ya (ada menyaksikan dia bermain). Kita tahu ada masalah di bahagian pertahanan, dengan adanya dia, saya harap ia akan membantu. Tapi kita perlu sahkan sama ada dia boleh bermain terlebih dulu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:28 AM

Kim Swee harap magis

KIM SWEE (kiri) tuntut aksi konsisten anak buah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee tetap menaruh harapan anak buahnya dapat melakukan kejutan bagi melepasi halangan peringkat Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 bermula Mac depan.
Beliau mengakui bukan tugas mudah untuk melakukannya selepas menyaksikan Malaysia diundi dalam satu kumpulan bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

“Kumpulan B cukup mencabar terutama kita tahu yang Korea Utara dan Lubnan memang pasukan pilihan. Hong Kong juga kebelakangan ini menunjukkan peningkatan jadi laluan kita bukan mudah.
“Kita perlu mempersiapkan pasukan dan memastikan segala perancangan untuk perlawanan sebenar serta aksi persahabatan tanpa sebarang kekangan,” katanya.
Di antara empat pasukan itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menduduki ranking FIFA paling rendah 161, berbanding Korea Utara (125), Hong Kong (140) dan Lubnan (148).
Susulan Korea Utara tampak sukar digugat, Harimau Malaysia yang layak beraksi di pusingan ketiga kelayakan selepas mengalahkan Timor Leste menerusi agregat 6-0 pada play-off Jun tahun lalu perlu bersaing merebut satu lagi slot bersama Lubnan dan Hong Kong untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kita perlu konsisten, cuba dapatkan mata penuh di tempat sendiri tapi dengan persediaan rapi kita mungkin boleh melakukan sedikit kejutan.
“Kita perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi perlawanan pertama dengan Korea Utara di tempat lawan (28 Mac). Belum pasti kita akan mengadakan aksi persahabatan dengan Bahrain di Manama pada 22 Mac ini kerana faktor masa dan jarak sebelum berdepan Korea Utara,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:22 AM

Kata dua Kim Swee

 
HAMIDIN (belakang dua kiri), Kim Swee (berdiri kiri) bergambar bersama sebahagian pasukan Dugong All Stars pada sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: “Jika Presiden baharu (FAM) mahu saya kekal, saya akan kekal, jika tak mahu saya akan pergi,” kata pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengenai kemungkinan kedudukannya bakal terjejas jika berlakunya perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun depan.

Menurut pengendali berusia 46 tahun itu, beliau tidak mahu masalah pentadbiran FAM mengganggu tugasnya mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar dua bulan lagi.


“Saya ada tugas, saya tak perlu fikir siapa yang akan menjadi presiden. Apa yang penting untuk memberi tumpuan kepada Piala AFF. Itu lebih penting daripada isu lain,” tegas Kim Swee kepada pemberita selepas majlis pelancaran perlawanan amal Hari Malaysia dan pengumuman logo baharu Harimau Malaysia semalam.

Kim Swee, bekas jurulatih Harimau Muda A menandatangani kontrak dua tahun awal tahun ini bagi mengambil alih tugas Dollah Salleh yang meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan skuad kebangsaan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun kedudukannya menjadi tanda tanya apabila Exco FAM bulan lalu membuat keputusan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan bagi memilih presiden dan barisan Exco baharu yang sepatutnya diadakan pada 2018.

Lebih mengejutkan apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers kelmarin mendakwa Kim Swee dan jurula
tih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt tidak akan memegang jawatan mereka lagi tahun depan.

Malah Tunku Ismail juga mengakui mengetahui pengganti jurulatih berkenaan dan juga presiden baharu FAM bagaimanapun dalam tinjauan Arena Metro semalam, entri berkenaan sudah dikeluarkan dari Facebook rasmi kelab itu.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Tunku Ismail itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, apa saja keputusan mengenai pengurusan FAM bergantung kepada barisan Exco yang baharu nanti.

“Saya tak pasti, mungkin itu pandangan Tunku Mahkota Johor sendiri, saya tak pasti apa maksud beliau. Kerana apa yang saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan, pemilihan itu akan memilih presiden dan barisan Exco seperti pemilihan sebelum ini.

“Terpulang kepada barisan baharu akan datang untuk tentukan (kedudukan Kim Swee dan Bernhardt),” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:26 AM

Rabu, 1 Mei 2019

Harap Kim Swee kekal

 Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: “Saya harap beliau dikekalkan,” itu pandangan pemain kebangsaan S Veenod mengenai masa depan jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee selepas Malaysia terkandas pada peringkat kumpulan Piala AFF.

Menurut pemain dari Pulau Pinang itu, dia berharap Kim Swee kekal dan tidak digantikan dengan jurulatih baharu walaupun Malaysia gagal mengulangi pencapaian edisi terdahulu apabila mara ke perlawanan akhir.


“Saya rasa pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan sudah sesuai dengan corak latihannya, kalau ambil jurulatih baru mungkin ia akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, salah satu sebab mengapa Kim Swee harus dikekalkan ialah kerana statusnya sebagai jurulatih tempatan dan senang buat pemain untuk memberi kerjasama.

“Semua pemain sudah memberikan persembahan paling baik tapi nasib tidak menyebelahi kami. Mungkin ramai di luar sana yang tidak faham. Kami bawa nama Malaysia, apa yang jurulatih berikan kami ambil untuk buat yang terbaik,” ujar pemain Selangor itu.

Veenod menyatakan memang mereka kecewa tidak berjaya membantu Malaysia melepasi peringkat kumpulan Piala AFF tetapi mereka sudah memberikan yang terbaik serta tidak mempunyai sebarang masalah dengan jurulatih.

Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF di Yangon, Myanmar apabila tumpas 0-1 kepada tuan rumah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 9:01 AM



Era Kim Swee cukup mencabar

 
 KIM SWEE (depan, kanan) berhadapan tugas sukar untuk membentuk skuad kebangsaan kerana kekangan menghimpunkan pemain terbaik daripada pihak tertentu.

YANGON, Myanmar – Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak memecat Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia.

Sejak Kim Swee mengambil alih tugas bekas jurulatih, Dollah Salleh dan dilantik sebagai pengendali tetap pada Januari lalu, beliau dilihat sering berdepan de­ngan beberapa kekangan ketika mengemudi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Bermula dengan kritikan terhadap corak latihan yang dipraktikkannya, Kim Swee juga gagal membentuk skuad yang mantap sebaik empat pemain kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal membuat kejutan apabila mengumumkan persaraan daripada skuad Harimau Malaysia pada Julai lalu.

Kehilangan empat lagi tonggak utama skuad negara iaitu Izham Tarmizi Roslan, Fazly Mazlan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan S. Chanturu yang tidak dapat menyertai skuad kebangsaan disebabkan alasan tertentu me­nyaksikan Kim Swee hanya memiliki tiga pemain utama daripada skuad sebelum ini iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Hazwan Bakri dan Matthew Davies bagi menggalas cabaran pada kepen Piala AFF Suzuki 2016.

Ekoran kekurangan tersebut, pengendali kelahiran Melaka itu tidak meme­nuhi salah satu daripada tiga Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) iaitu gagal layak ke pentas final Piala AFF Suzuki 2016 sebaik tewas 0-1 kepada Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B di Stadium Thuwunna kelmarin.

Bukan mahu menidakkan kemampuan pemain-pemain yang berada di dalam skuad Piala AFF Suzuki kali ini tetapi Kim Swee sebenarnya masih dilihat memiliki beberapa pilihan pemain yang berkualiti tetapi atas beberapa kekangan tertentu, beliau hanya dapat menyenaraikan pemain yang sedia ada sahaja.

Justeru, Kim Swee tidak mampu me­lakukan sesuatu yang lebih baik dengan sekadar memiliki tiga pemain utama daripada skuad terdahulu jika diban­dingkan dengan kesebelasan utama yang dimilikinya ketika menewaskan Timor Leste 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2018 pada Jun lalu.

Malah, beberapa pihak turut dilihat tidak menyenangi Kim Swee sejak me­ngendalikan skuad kebangsaan dan di terus menerus diasak oleh pihak-pihak tertentu sehingga dia gagal menghimpunkan pemain terbaik dalam saingan liga tempatan.

Ketiadaan beberapa pemain terbaik bukan mahu dijadikan sebagai alasan tetapi berdasarkan situasi semasa, mana-mana pihak mengakui bahawa senario Kim Swee tidak sama jika dibandingkan ketika di bawah kendalian bekas jurulatih antaranya seperti Datuk K. Rajagobal atau Dollah yang mampu memiliki pemain terbaik ketika itu tanpa ada sekatan daripada mana-mana pihak.

Era Kim Swee ternyata cukup mencabar kerana ada pasukan tidak mahu melepaskan pemain mereka untuk menabur bakti dengan skuad kebangsaan.

Senario inilah yang telah membantutkan usaha Kim Swee untuk membentuk sebuah pasukan yang hebat dan berdaya saing, namun beliau tetap mampu melakukan yang terbaik dengan barisan pemain yang ada.

Pepatah ‘Too many cooks spoil the soup’ amat tepat untuk menggambarkan se­nario yang berlaku di dalam bola sepak Malaysia ketika ini dan Kim Swee boleh dianggap jurulatih yang kurang bernasib baik kerana berdepan dengan situa­si yang menyukarkannya untuk menghimpunkan pemain terbaik.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4RHmWsCAn Hakcipta terpelihara

Aksi masih belum sempurna: Kim Swee

SYAZWAN (kanan) jaring gol penyamaan negara.
Yangon: Skuad Harimau Malaysia membuka langkah kanan dalam saingan Kumpulan B Piala AFF namun berdasarkan aksi kurang meyakinkan ketika menewaskan Kemboja 3-2 semalam laluan mencabar bakal dihadapi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mara ke separuh akhir.

Skuad negara bergelut dalam aksi cuaca panas di Stadium Thuwunna apabila ketinggalan dua kali menerusi jaringan penyerang berusia 22 tahun Kemboja Chan Vathanaka pada minit kelapan dan 58.

Namun jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-36 dan dua gol kapten Amri Yahyah (m-68 dan 80) menyelamatkan Harimau Malaysia daripada terus mencatat kekalahan pada perlawanan pertama sejak edisi 2010.


Menurut Kim Swee, beliau mengakui anak buahnya masih belum mempamerkan persembahan sempurna namun yakin mereka akan terus meningkat bagi bertemu Vietnam Rabu ini dan Myanmar pada Sabtu.

“Ia kemenangan sukar seperti yang kami jangkakan tapi kami berjaya mencapai misi yang diinginkan. Saya percaya kami akan bertambah baik selepas ini kerana kemenangan ini akan memberi lebih keyakinan kepada pemain.

“Gol yang kami lepaskan menyebabkan corak permainan berubah. Kami mengawal permainan namun selepas ketinggalan kami terpaksa mengejar kedudukan dan terpaksa berusaha dua kali ganda dalam cuaca panas,” katanya.

Malaysia mengawal permainan namun bahagian pertahanan yang diterajui Shahrom Kalam dan Shahrul Saad kerap goyah ketika berdepan serangan pantas Kemboja.

Bagaimanapun Kim Swee mempersoalkan jaringan pertama Kemboja apabila mengakui pemainnya keliru apabila pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah membenarkan gol Vathanaka biarpun penjaga garisan sudah mengangkat bendera.

“Saya kena melihat video semula jaringan pertama itu tapi saya melihat penjaga garisan sudah mengangkat bendera, membuatkan bukan saja pemain kita tapi pemain Kemboja turut menghentikan permainan.

“Ada satu situasi yang mana pemain Kemboja menghantar bola ke belakang dan penjaga gol mereka menangkap bola itu tapi pengadil tidak memberikan sepakan percuma. Tapi apa yang berlaku hari ini perlu dijadikan pengajaran buat pemain kita supaya terus bermain selagi wisel tidak dibunyikan,” ujarnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:08 AM