ARKIB : 29/04/1998
BEKAS pemain kebangsaan, Ong Kim Swee dan Paul Raj akhirnya digugurkan daripada
pasukan bola sepak Melaka ekoran persembahan kurang menyerlah pada persaingan
bola sepak Liga Perdana Dua musim ini, lapor AMIRUDDIN HARUN.
Kedua-dua pemain itu digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA)
menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada dua pemain terbabit pada 21 April
lalu.
Pengguguran dibuat setelah persatuan itu mendapati kedua-dua pemain itu
tidak menunjukkan prestasi seperti yang dikehendaki semasa perjanjian
ditandatangani sebelum perlawanan liga dimulakan.
Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh ketika dihubungi di Melaka semalam
memberitahu, tindakan drastik itu diambil setelah MAFA tidak mempunyai pilihan
lain bagi memastikan pasukan itu diwakili oleh barisan pemain yang berwibawa.
Mengenai pembayaran gaji pemain-pemain, beliau mengakui MAFA berhadapan
dengan masalah pembayaran gaji pemain tetapi MAFA cuba menyelesaikannya secara
berperingkat-peringkat.
Menurutnya, masalah ini timbul kerana Gibca Holdings Sdn. Bhd., yang
menjadi penaja utama pasukan musim ini masih belum menyuntik bantuan kewangan
kepada MAFA.
Beliau juga mengesahkan bahawa hanya enam pemain kontrak termasuk pemain
import yang dibayar gaji bulanan manakala baki pemain yang merupakan pemain
amatur hanya dibayar elaun.
Berikutan masalah yang timbul, katanya, Presiden MAFA, Datuk Mohamed Jais
akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia
(FAM), Sultan Ahmad Shah pada 3 Mei ini di Arwana Resort, Genting Highlands.
Menurutnya, pertemuan itu diharap dapat menyelesaikan masalah kewangan yang
dihadapi oleh MAFA lebih-lebih lagi setelah pasukan Sang Kancil diaibkan oleh
pasukan Terengganu, 0-5 pada perlawanan Perdana Dua di Terengganu, Jumaat lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan