Jumaat, 1 September 2017

Kim Swee masih relevan

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap khidmat Datuk Ong Kim Swee masih diperlukan untuk membimbing pasukan negara bagi persediaan mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China Januari depan.

Beliau berkata, kejayaan membawa skuad muda negara layak secara automatik buat kali pertama ke kejohanan itu serta meraih perak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Selasa lalu membuktikan kemampuan Kim Swee mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mencapai keputusan baik di dua kejohanan besar tahun ini. Pasukan ini melepasi kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu dan layak ke final Sukan SEA.

“Walaupun kita kalah kepada Thailand (0-1) dan meraih perak, kejayaan mara ke final Sukan SEA itu boleh dianggap baik seperti diakui sendiri Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi pada final itu cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya fikir dua pencapaian ini boleh dijadikan asas penilaian untuk FAM menentukan kedudukan Kim Swee nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai nasib Kim Swee yang masih belum pasti untuk membimbing skuad B-22 selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.

Malah difahamkan ada beberapa kelab utama Liga Super Indonesia (ISL) termasuk satu kelab berpangkalan di Jakarta berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu.

Bagaimanapun Kim Swee, 46, enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu sebaliknya mahu memberi fokus kepada proses perbincangan dengan FAM mengenai lanjutan kontraknya dalam masa terdekat ini.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, segala keputusan bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Teknikal dan beliau berharap kata putus dapat dicapai kerana mereka hanya ada lebih kurang empat bulan sebelum menghadapi Kejohanan AFC B-23.

“Kejohanan AFC akan berlangsung Januari tahun depan, saya fikir untuk meletakkan jurulatih baru agak susah kerana masa agak singkat. Peluang untuk kontrak Kim Swee disambung ada tapi bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

“Kalau mengikut perancangan awal, pemain perlu dipanggil semula Disember ini sebelum ke China. Kali ini kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa untuk menyediakan pasukan lebih mantap,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 3:04 AMN


Maafkan salah saya – Haziq

REAKSI kecewa penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola
REAKSI kecewa penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola yang ditumbuknya masuk ke gawang sendiri pada saingan akhir bola sepak antara Malaysiamenentang Thailand di Stadium Shah Alam.

31 Ogos 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli menyifatkan kesilapan yang dilakukannya ketika final Sukan SEA menentang Thailand di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan tewas 0-1 menjadi pengajaran berguna buat dirinya.

Mengakui menjadi punca kepada kekalahan tersebut, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mahu menoleh ke belakang sebaliknya terus pandang ke depan.

“Pertama sekali saya memohon maaf kepada semua kerana disebabkan prestasi dan kesilapan saya telah menjadi punca kepada kekalahan pasukan. Jika saya dipanggil lagi selepas ini saya akan buat yang terbaik.

“Pada waktu itu, bola berada dalam lencongan dan saya nak tumbuk tetapi dengan cuaca hujan dan basah menyebabkan saya terlepas melakukannya. Nak buat macam mana bukan rezeki saya dan bukannya saya sengaja. Kalau sengaja lebih baik saya beritahu awal-awal saya tidak mahu main,” katanya.

Haziq gagal menjinakkan sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38 sebelum bola masuk ke gawang sendiri. Kesilapan yang sama turut berlaku pada 16 tahun lalu apabila penjaga gol waktu itu, Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri menentang lawan yang sama juga di venue yang sama.

Tambah Haziq, dia berterima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sentiasa memberi semangat dan menerima kritikan peminat dengan hati terbuka.

“Saya kecewa dengan kekalahan malam ini tetapi nak buat macam mana sebab dalam bola sepak sepuluh kali saya selamatkan gawang orang tak akan ingat, orang ingat satu sahaja kesilapan saya.

“Terima kasih kepada mereka yang memberikan semangat kepada saya dan siapa yang cakap (kritik) saya abaikan mungkin mereka tengah marah,” katanya.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 31 Ogos 2017 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan