Jumaat, 1 September 2017

Popular di seberang

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Ketika nasib jurulatih Datuk Ong Kim Swee bersama skuad bawah 22 tahun n (B-22) masih belum pasti, situasi itu pantas dihidu beberapa kelab Liga Super Indonesia (ISL) yang menyatakan berminat mendapatkan khidmatnya.

Kim Swee bukan asing lagi di Indonesia selepas beliau menjadi ‘arkitek’ kejayaan skuad negara menewaskan negara itu pada final Sukan SEA 2011 Jakarta.

Malah ‘saham’ pengendali berusia 46 tahun itu terus melonjak di negara jiran itu susulan anak buahnya menewaskan skuad Garuda Muda kendalian bekas jurulatih remaja Sepanyol Luis Milla Aspas dua kali di kelayakan Kejohanan AFB-23 di Bangkok bulan lalu (3-0) dan separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur (1-0).

Difahamkan sebuah kelab yang berpangkalan di Jakarta sangat serius untuk mendapatkan khidmat Kim Swee manakala beberapa kelab ISL turut menunggu peluang apabila kontrak beliau tamat 31 Disember ini.

Bagaimanapun Kim Swee enggan mengulas spekulasi itu kerana masih berminat untuk mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan kontrak.

“Tiada apa yang ingin saya katakan setakat ini mengenai perkara itu (tawaran kelab Indonesia). Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan (FAM) selepas ini, secepat-cepatnya minggu depan.

“Perbincangan itu bukan hanya mengenai kontrak tapi membabitkan perancangan pasukan B-22 yang akan bertanding di Kejohanan AFC (B-23) di China tahun depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Berdasarkan kontrak asal dua tahun dengan FAM yang ditandatangani Januari 2016, Kim Swee ditawarkan tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya namun beliau diarahkan untuk menggantikan tempat Frank Bernhardt pada Mac lalu untuk membimbing skuad B-22.

Posisi Kim Swee pula diisi jurulatih kelahiran Portugal Nelo Vingada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan