Khamis, 30 Mac 2017

Kim Swee jurulatih terbaik



Ong Kim Swee
Ong Kim Swee

Izzul Farhan Surianshah

29 Mac 2017 12:24 AM
SEREMBAN 28 Mac - Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar menepis tanggapan segelintir peminat bola sepak tanah air bahawa Datuk Ong Kim Swee diturunkan pangkat apabila kembali membimbing skuad bawah 23 tahun negara.

Bekas pemain kebangsaan itu sebalik­nya beranggapan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat keputusan memin­dahkan Kim Swee untuk bersama skuad remaja negara kerana dia dilihat memiliki pengalaman luas dalam mengenal pasti dan membentuk bakat muda.

Tunku Ismail, dalam sidang akhbar pertamanya sebaik sahaja diumumkan secara rasmi sebagai Presiden FAM Sabtu lalu, berkata Kim Swee dilantik sebagai jurulatih skuad Bawah 23 manakala tempatnya bersama skuad se­nior Harimau Malaysia bakal diisi oleh bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.

“Pemilihan beliau untuk membimbing pasukan Bawah 23 tahun negara adalah satu keputusan yang tepat. Kita kena akui, beliau merupakan jurulatih tempatan terbaik yang negara miliki ketika ini.

“Kalau kita imbas kembali, Datuk Ong Kim Swee mempunyai sejarah yang bagus ketika membimbing pasukan pelapis negara sehingga berjaya meraih pingat emas Sukan SEA,” katanya selepas majlis penyam­paian Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-Asiana.my bagi Februari 2017 kepada penyerang import pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan, Bruno Suzuki di Seremban 3, di sini hari ini.

Hairuddin berkata, pasukan kebangsaan sekarang rata-ratanya dibarisi bekas pemain Harimau Muda yang pernah berada di bawah bimbingan Kim Swee satu masa dulu.

“Jadi bagi kami, Datuk Ong Kim Swee bukannya diturunkan pangkat kerana beliau tidak bagus, mungkin masyarakat melihat perkara ini dari sudut yang berbeza,” katanya.

Untuk rekod, Kim Swee pernah membawa skuad muda negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia apabila menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas perlawanan terikat 1-1 dalam perlawanan akhir.

Selain itu, Harimau Muda di bawah bimbingannya turut menikmati beberapa kejayaan lain seperti menjuarai Liga Perdana 2009, juara Piala ACTV di Indonesia, juara Newspaper Cup (Vietnam) dan juara Pesta­bola Merdeka 2013.

Dalam perkembangan lain, beliau yakin pemilihan Gomez sebagai pengendali Harimau Malaysia mampu menarik pemain keluar dari persaraan untuk mewakili negara.

“Kami percaya pemain seperti Mohd. Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal akan kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan.

“Mereka ini watak penting dan mampu memberi kekuatan tambahan kepada skuad kebangsaan dan mereka berada pada prestasi terbaik dalam pasukan negeri masing-masing,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-jurulatih-terbaik-1.463130#ixzz4cnmB0ZO4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan