Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN-pemain Harimau Muda
menimba pengalaman berguna pada Piala Menpora walaupun gagal layak ke
perlawanan akhir.
KUALA LUMPUR - Tewas pada
perlawanan kedua Piala Menpora 2013 kepada Central Coast Mariners dan gagal
melayakkan diri ke perlawanan akhir tidak meresahkan jurulatih Harimau Muda,
Ong Kim Swee sebaliknya dia lebih menitikberatkan pengalaman yang diraih anak
buahnya serta pendedahan kepada pemain simpanan.
Semalam di Stadium Jalak
Harupat, Bandung, skuad bawah 23 tahun negara itu gagal untuk melakukan kejutan
atau sekurang-kurangnya berkongsi mata dengan juara Liga Australia (Liga-A)
2012/13 itu apabila tewas 0-2 hasil jaringan Matthew Simons (42) Mitchell Duke
(90) seterusnya gagal menempah slot ke saingan akhir.
Menurut Kim Swee, walaupun
tewas setidak-tidaknya anak buahnya sudah memberikan saingan kepada skuad
bimbingan Graham Arnold, yang bukan sahaja juara liga tetapi mempunyai
pengalaman luas beraksi bersama kelab ternama Asia lain dalam saingan Liga
Juara-Juara Asia 2012.
"Apa yang paling mustahak
di sini ialah kita mendapat satu perlawanan berkualiti, ini adalah pengalaman
dan pembelajaran yang berguna buat pemain, terutama mereka yang jarang
diturunkan di Pestabola Merdeka baru-baru ini," katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia semalam.
Pada perlawanan pertama Jumaat
lalu Harimau Muda bermula dengan sedikit positif selepas berjaya mengikat
Persib Bandung 2-2 dan masih baki satu lagi perlawanan bertemu Sriwijaya FC
esok namun ia hanyalah sekadar perlawanan pelengkap jadual buat mereka kerana
kemenangan masih gagal untuk memintas Central Coast Mariners, di mana juara
kumpulan sahaja akan beraksi di perlawanan akhir.
"Kita pelajari sesuatu di
sini dan memang kita tidak meletakkan sebarang sasaran, namun perlawanan akhir
bertemu Sriwijaya kita tidak akan memberi laluan mudah buat mereka walaupun
mereka mempunyai enam pemain import," ujarnya.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130923/su_08/Tewas-tetapi-pengalaman-bernilai---Kim-Swee#ixzz2flUfcXvM©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan