Ahad, 19 Februari 2017

Amukan Harimau Muda

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ALI MAHMOOD
dayne.ghazali@utusan.com.my



Nasir (dua kanan) diserbu rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan Malaysia menentang Thailand dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Malaysia menang 3-0. - UTUSAN/ MAHATHIR ALI
KUANTAN - Harimau Muda bagaikan masih lapar meskipun telah menempah tempat pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 apabila penuh bergaya membenam Thailand 3-0 dalam aksi penutup peringkat kumpulan di hadapan 5,000 penonton di Stadium Darul Makmur, semalam.
Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Rozaimi Abdul Rahman membuktikan bisanya perlu diberi perhatian oleh Ong Kim Swee apabila meledak dua jaringan pada minit ke-27 dan 80 dengan gol pertama Malaysia disumbangkan Mohd. Nasir Basharuddin pada minit ke-11.
Keputusan itu turut membantu Myanmar bertemu Malaysia di perlawanan akhir selepas menang 2-0 di Stadium Temerloh dan mengatasi Thailand dengan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat empat mata.
Harimau Muda mudah merobek gawang Thailand pada minit ke-11 lagi melalui rembatan leret pemain tengah Perak, Nasir Basharuddin dari dalam kotak penalti.
Melalui sepakan percuma yang diambil oleh pemain FC Ryukyu, Nazirul Naim dari sebelah kiri, penjaga gol Thailand, Abeefaesan Ya sekadar menumbuk lemah sebelum bola sampai singgah di kaki Nasir yang melepaskan rembatan leret bagi gol pembukaan Malaysia.
Kehilangan ketua pasukan, Mahamasabri Awaebuesa di bahagian pertahanan jelas amat dirasai oleh Thailand apabila 16 minit kemudian, gawang skuad Gajah Putih bocor lagi, kali ini giliran pemain yang berasal dari Sabah, Rozaimi.
Tindakan bijak Sivanesan yang melepasi perangkap ofsaid di sebelah kanan memberikan ruang kepada Rozaimi yang berlari pantas ke dalam kotak penalti tanpa dikawal oleh mana-mana pemain sebelum memperdayakan Abeefaesan dan menolak masuk bagi jaringan kedua tuan rumah.
Rozaimi terus mengganas lagi pada minit ke-80 hasil gerakan skil individu yang menarik dengan mengatasi tiga pertahanan lawan dan menjaringkan gol yang cantik menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti.
Kim Swee mengakui kemenangan yang dicapai oleh Harimau Muda hari ini ekoran sikap positif yang dipamerkan oleh barisan pemain mudanya di samping keletihan pihak lawan yang menggunakan sebahagian besar pemain yang sama pada tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.
''Kemenangan itu membuktikan sesiapa sahaja dalam pasukan ini boleh berada dalam kesebelasan utama dan situasi itu pasti akan terus membuatkan saya pening kepala memilih siapa yang akan digunakan pada aksi akhir nanti," katanya.


Sumber-Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130912/su_01/Amukan-Harimau-Muda#ixzz2efW2uzwA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan