Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SKUAD Harimau Muda bergambar
kenangan pada majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang
Jumaat lalu.
SEJAUH mana kemampuan barisan
pemainnya kekal cergas beraksi dalam tempoh 90 minit bakal menjadi agenda utama
pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang sepak mula Pesta Bola Merdeka
2013 di Kuantan pada 7 September depan.
Sekadar turun dalam satu aksi
persahabatan berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 3 September, tiada
lagi yang dituntut Kim Swee melainkan beberapa siri 'pemanas badan' sebelum
Harimau Muda memulakan kempen Pesta Bola Merdeka 2013 menentang skuad Bawah 23
tahun (B-23) Singapura empat hari kemudian.
Menurut beliau, tempoh kurang
dua minggu yang dimiliki beliau akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengenal pasti
beberapa aksi kompetitif sebelum Pesta Bola Merdeka 2013 bermula.
"Saya hanya dapat menilai
kecergasan pemain dalam perlawanan penuh selama 90 minit, bukan sekadar latihan
biasa.
"Jadi saya harap dapat
mengenal pasti beberapa aksi persahabatan sebagai ujian buat pemain
selewat-lewatnya minggu depan," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kim Swee berkata, beliau
berdepan kesukaran menguji pemain ekoran aksi persahabatan berdepan skuad
kebangsaan Bangladesh yang sepatutnya berlangsung 22 Ogos lalu terpaksa
dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Hanya aksi menentang
Pahang yang bakal menjadi ujian terakhir Harimau Muda sebelum memulakan aksi
Pesta Bola Merdeka, jadi saya harap kami dapat mengadakan beberapa ujian
persahabatan sebelum itu," katanya.
Daripada 25 pemain Harimau Muda
yang dipanggil berkumpul di Kuantan pada 1 September depan, Kim Swee juga tidak
menolak kemungkinan sekurang-kurangnya tiga nama akan 'tercicir' daripada
beraksi pada Pesta Bola Merdeka nanti.
"Senarai akhir 22 pemain
hanya akan diumumkan sehari dua sebelum Pesta Bola Merdeka," kata Kim
Swee.
Selepas berdepan B-23
Singapura, skuad kendalian Kim Swee bakal melayan cabaran skuad B-23 Myanmar
pada 9 September sebelum berdepan B-23 Thailand dua hari kemudian.
Aksi penentuan tempat ketiga/
keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 14
September.
Kali terakhir Malaysia muncul
juara Pesta Bola Merdeka ialah pada edisi 2007 apabila mengecewakan Myanmar 3-1
di pentas final.
SUMBER RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/27.8.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan