PETALING JAYA - Kebebasan telah
diberi. Sekarang semuanya terserah kepada enam tonggak Harimau Muda A untuk
membuat keputusan tentang masa depan mereka sama ada mahu kekal setahun lagi
bersama pasukan itu atau memilih haluan baharu.
Mohd. Irfan Fazail, Wan
Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhd. Fadhli Shas, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, A.
Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri semuanya diberi masa sehingga akhir bulan
ini untuk mencapai keputusan dengan pasukan yang hendak mereka wakili.
Pengendali Harimau Muda A, Ong
Kim Swee menegaskan, beliau mahu semua pemain terbabit menyelesaikan isu
mengenai masa depan mereka dengan segera supaya fokus mereka bagi menghadapi
Sukan SEA Myanmar, Disember ini tidak terganggu.
Begitupun kata Kim Swee, semua
pemain ini perlu memberikan keutamaan kepada negeri di mana mereka berasal, dan
seandainya mereka mahu bermain dengan pasukan atau kelab lain, maka mereka
perlu mendapatkan pelepasan daripada persatuan bola sepak negeri terbabit.
Kim Swee ketika mengumumkan
senarai pemain yang akan dikekal dan dilepaskan untuk tahun 2014-2015 berkata,
beliau tidak mahu hanya melepaskan pemain tertentu sahaja kerana enggan
dianggap sebagai bersikap berat sebelah.
"Semua pemain ini berusia
22 tahun dan boleh bersama Harimau Muda dalam masa setahun lagi jika mereka
berminat untuk meneruskan aksi bersama pasukan ini, jadi pilihan di tangan
mereka. Saya memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan bersama
pasukan-pasukan yang berminat.
"Namun, saya mahu mereka
selesaikan segalanya pada penghujung Oktober ini supaya kita dapat memberikan
tumpuan pada Sukan SEA serta persiapan yang kita akan lakukan sepanjang November,
saya tidak mahu fokus pemain saya terganggu dengan perkara-perkara sebegini.
"Banyak tawaran saya
terima setakat ini untuk enam pemain ini, termasuk dari luar negara, namun
mereka kena pulang ke negeri asal untuk berbincang terlebih dahulu," kata
Kim Swee di Wisma FAM, semalam.
Pada masa yang sama, Kim Swee
turut memberi peringatan kepada pemain-pemainnya agar memikirkan mengenai masa
depan mereka dengan sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan hanya kerana
teruja dengan gaji lumayan yang ditawarkan.
Apa yang penting, mereka harus
memastikan peluang untuk beraksi sentiasa cerah jika menyertai pasukan baharu.
Paling utama katanya, semua
pemain ini harus mengekalkan disiplin yang telah diterapkan ketika bersama
Harimau Muda dan mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada bekas
pemain Harimau Muda yang kini tenggelam dan dilanda kemerosotan prestasi sebaik
sahaja menyertai pasukan negeri atau kelab.
"Jika mereka memilih jalan
untuk keluar daripada pasukan Harimau Muda, saya mahu nasihatkan mereka agar
berusaha mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
"Paling mustahak kekalkan
tahap disiplin. Memang berlaku kepada beberapa pemain yang dilepaskan untuk
pulang beraksi dengan pasukan negeri masing-masing tidak menunjukkan prestasi
yang baik," katanya,
SUMBER-RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_05/Fikir-masak-masak-pilih-pasukan-mana---Kim-Swee#ixzz2hDXvpUHf©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan